PENULISAN
ILMIAH
KESEDARAN PENGURUSAN SISA
PEMBINAAN KE ARAH PENGURUSAN LESTARI
Azni Yuhaniza binti Mohd Yusof
Unit Pelukis Pelan Senibina
ABSTRAK
Malaysia kini
tergolong dalam kategori negara membangun. Peningkatan bilangan pembinaan rumah
menandakan sektor pembinaan sedang berkembang maju. Perkembangan ini
menunjukkan aktiviti pembinaan kian meningkat begitu juga dengan jumlah sisa
pembinaan. Kemajuan pembinaan ini memberi kesan kepada alam sekitar dari segi
ketidakseimbangan ekologi, perubahan persekitaran hidup dan penjanaan sisa.
Pembangunan lestari merupakan pembangunan yang dijalankan secara terancang dan
berterusan serta tidak menjejaskan keadaaan alam sekitar demi keselesaan dan
keselamatan generasi kini dan masa hadapan. Sisa binaan terbahagi kepada dua
kluster kumpulan iaitu sisa-sisa pembinaan fizikal dan bukan fizikal. Secara
keseluruhannya, pengurusan sisa pembinaan ini dapat diperbaiki. Titik tolak
daripada peningkatan kesedaran oleh kontraktor, pemaju dan pihak-phak terlibat
dalam pengurusan sisa pembinaan ini. Pengurusan yang baik adalah dengan
pemantauan yang terancang dan berkala agar tiada ruang dan peluang untuk
sebarang pihak untuk mengelak dari pengurusan dengan betul.
PENGENALAN
Malaysia kini tergolong dalam
kategori negara membangun. Pembangunan yang pesat mampu untuk menjana industri
pembinaan. Oleh itu, pembangunan dan pembinaan giat dijalankan di Malaysia.
Pada tahun 2012, Malaysia menduduki tempat ke-26 dari segi pembangunan
infrastruktur. Pembangunan bandar yang mampan haruslah menjurus kepada
keupayaan menampung, pengambilan sumber, pengagihan bahan buangan serta
melindungi tahap pencemaran.
Pembangunan lestari merupakan pembangunan
yang dijalankan secara terancang dan berterusan serta tidak menjejaskan
keadaaan alam sekitar demi keselesaan dan keselamatan generasi kini dan masa
hadapan. Kesedaran terhadap pengurusan sisa-sisa yang dihasilkan perlu
dipertingkatkan di kalangan rakyat Malaysia. Secara amnya, kesedaran awam dan
penglibatan masyarakat umum terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar dan
konsep 3R (Reduce, Reuse Recycle)
adalah amat penting.
Amalan terbaik di dalam
pengurusan sisa pepejal pembinaan menurut Garis panduan yang dikeluarkan oleh
Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2013, perancangan yang teliti dan
pengawalan sumber yang cekap merupakan faktor untuk mencapai pengurusan sisa
pepejal yang cekap dan lestari. Elemen 3R perlu diterapkan dan dimanfaatkan
sebaik mungkin dengan berteraskam kepada hirarki pengurusan sisa pepejal
seperti dalam Rajah 1.
Rajah 1
Peningkatan pembangunan dan
pembinaan di Malaysia akan memberi impak negatif kepada alam sekitar sekiranya
tiada tindakan atau prosedur ketat dalam pengurusan sisa pembinaan.
Latar Belakang
Salah satu daripada pembangunan teknologi hijau adalah sektor bangunan.
Ini meliputi pembinaan, pengurusan, pemuliharaan dan pemusnahan. Galakkan
insentif turut diberikan kepada para pengeluar dan pengguna Teknologi Hijau
yakni pengurusan secara lestari ini seperti yang telah diumumkan di dalam Bajet
2010 (KeTTHA, 2011)
Isi utama yang menjurus kepada peningkatan pembuangan sisa binaan
adalah disebabkan oleh pengurusan yang kurang produktif dalam industri
pembinaan di Malaysia. Akibat daripada ketidakcekapan buruh, tahap pembaziran
yang tinggi berlaku. Penjanaan kualiti sisa binaan yang tinggi di tapak
pembinaan menjadi isu kepada persekitaran.
Pernyataan Masalah
Peningkatan bilangan pembinaan
rumah menandakan sektor pembinaan sedang berkembang maju. Perkembangan ini
menunjukkan aktiviti pembinaan kian meningkat begitu juga dengan jumlah sisa
pembinaan. Kemajuan pembinaan ini memberi kesan kepada alam sekitar dari segi
ketidakseimbangan ekologi, perubahan persekitaran hidup dan penjanaan sisa.
Garis panduan oleh pihak berkuasa
perlu diperluaskan pelaksanaannya dalam memudahkan pemilik bangunan atau rumah untuk
pengurusan sisa binaan. Garis panduan yang dikeluarkan oleh Perbadanan
Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Kementerian Perumahan
dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2013 mencakupi pelbagai aspek. Antaranya ialah
perancangan pengurusan sisa pepejal pembinaan yang memfokuskan kepada keperluan
penyediaan dokumen perancangan pengurusan sisa pepejal pembinaan, pemilihan
lokasi dan kaedah penyediaan tempat pengasingan dan pengumpulan sisa pepejal,
penyediaan tempat pemungutan sisa pepejal dan penyediaan tong.
Tahap kesedaran terhadap
pengurusan sisa pembinaan di kalangan rakyat Malaysia adalah kurang memuaskan.
Keadaan ini amat ketara terutamanya bagi aktiviti pembinaan pengubahsuaian
rumah kediaman. Sering dilihat sisa-sisa hasil aktiviti pengubahsuaian ini
tidak dikendalikan dengan baik dan mesra alam. Kebanyakkan sisa-sisa dibiarkan
di sisi jalan dan sisa-sisa simen dibiarkan di dalam longkang dan banyak lagi
tanpa sebarang tindakan yang wajar oleh pihak kontraktor mahupun empunya
projek.
Pengurusan sisa pembinaan ini
secara lestari harus dipertingkatkan dalam menjamin pengurangan masalah
pencemaran alam sekitar. Kesediaan awam terhadap pengurusan ini harus
diterapkan mulai sekarang agar kepentingan alam sekitar dapat dipelihara.
Sisa Pembinaan di Tapak Bina
Pengurusan
sisa pembinaan yang bersistematik amat penting dipraktikkan di tapak binaan.
Malaysia kini mengalami masalah pengurusan sisa pembinaan secara teratur. Ini
disebabkan oleh kurang pendedahan terhadap kesannya terhadap alam sekitar dan
kesihatan daripada pengurusan secara tidak betul. Pengurusan secara lestari
harus dipertingkatkan demi menjamin masalah kepada pekerja binaan mahupun alam
sekitar.
Sisa binaan
terbahagi kepada dua kluster kumpulan iaitu sisa-sisa pembinaan fizikal dan
bukan fizikal. Sisa pembinaan secara fizikal ini boleh dijelaskan sebagai hasil
pembinaan, pengubahsuaian dan aktiviti memusnahkan yakni termasuklah aktiviti
pengorekkan tanah, pembinaan bangunan dan infrastruktur, pembersihan tapak dan
sebagainya. Hasil daripada aktiviti pembinaan ini, sisa-sisa pembinaan seperti
bata, lebihan pasir, blok, kayu, kertas, plastik, simen, bar keluli dan banyak
lagi. (Sasitharan Nagapan, 2012).
Seow Ta Wee & Abdul Halim
(2010), sisa pembinaan adalah pelbagai, di mana ia bergantung kepada saiz
projek pembinaan dan bentuk geologi serta boleh mengandungi bahan yang tidak
diingini yang boleh merosakkan alam sekitar. Contohnya sisa pembinaan termasuuklah
besi ferus atau bukan ferus, tanah, batu, pasir serta bahan yang boleh
mendatangkan bahaya seperti cat dan lacquers.
Kesedaran Umum terhadap Pengurusan Sisa Pembinaan
Pemantauan oleh pihak berkuasa
adalah penting kerana tahap kesedaran di kalangan masyarakat terutamanya
kontraktor adalah masih di tahap yang tidak memuaskan. Oleh itu, sekiranya didapati
pengurusan sisa pembinaan tidak dilakukan dengan kaedah yang betul, maka pihak
berkuasa haruslah mengambil tindakan yang sewajarnya seperti mengenakan denda
mengikut tahap kesalahan yang dilakukan oleh kontraktor mahupun pemaju. Dengan
pendekatan denda ini, sedikit sebanyak akan mendorong kepada pelaksanaan
pengurusan yang lebih baik di masa akan datang.
Tahap kesedaran di kalangan
masyarakat adalah amat rendah. Program-program yang berkaitan dalam melaksana,
menggalakkan penyertaan dan mempertingkatkan kesedaran orang awam mengenai program
kesedaran dan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam harus
dipergiatkan.
Pelan Tindakan oleh PPSPPA dapat
dilaksanakan secara lebih efektif dengan adanya aktiviti yang lebih interaktif.
Antaranya mengadakan aktiviti Kitar Semula Peringkat Nasional, Implementasi
Kempen Kesedaran Pengasingan Sisa, Ceramah dan aktiviti berkaitan Kitar Semula,
Projek 3R peringkat sekolah dengan Program Anugerah Kitar Semula dan pengedaran “Buku Panduan indakan 3R”
peringkat sekolah rendah dan menengah. (Perancangan Strategik 2009-2013,
Program Kesedaran Awam, 2013)
Pada masa kini, kasar kitar
semula di Malysia ialah 5%. Kadar ini adalah rendah jika dibandingkan
dengannegara-negara maju seperti Jerman (74%), Belgium (71%), Austria (67%) dan
Belanda (66%). Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menetapkan
bahawa 11 November bagi setiap tahun merupakan Hari Kitar Semula
Kebangsaan. (Portal Rasmi PPSPPA)
Pengurusan Sisa Pembinaan
Seow Ta Wee & Abdul Halim
(2010), pengurusan sisa pembinaan yang tidak sistematik boleh mendatangkan
masalah kepada persekitaran, kesihatan dan keselamatan pekerja-pekerja binaan.
Sektor pembinaan merupakan salah
satu industri yang paling aktif di Malaysia. Secara purata, bilangan projek
pembangunan yang dilaksanakan di Malaysia adalah berjumlah purata hampir 6000
projek setahun. (PPSPPA, 2013). Namun, dari sudut yang lain, pembangunan pesat
memberi impak yang serius kepada alam sekitar jika sisa yang dihasilkan semakin
meningkat dari tahun ke tahun tidak dikawal.
Garis Panduan yang dikeluarkan
oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam berkaitan
Pengurusan Sisa Pepejal Pembinaan di Tapak Bina menekankan amalan terbaik di
dalam pengurusan Sisa Pepejal Pembinaan. Konsep Pencegahan dan pengurangan sisa
merupakan amalan yang terbaik untuk membendung senario ini. Malahan, penekanan
terhadap kaedah guna semula sisa dan kitar semula merupakan pendekatan yang
harus dijadikan amalan.
Siti Akhtar binti Mahayuddin
(2011), amalan yang baik dalam pengurusan sisa binaan berupaya mengawal
penjanaan sisa binaan dan mengurangkan impak negatifkepada alam sekitar.
Pengurusan sisa binaan secara
lestari yakni yang lebih mesra alam haruslah mendapat pemantauan yang lebih
tegas oleh pihak-pihak berkuasa khususnya daripada Majlis Perbandaran Tempatan,
Construction Industry Development Board (CIDB) selain kontraktor memainkan
peranan penting dalam menguruskan sisa-sisa daripada aktiviti yang dijalankan.
Pengurusan sisa binaan yang diamalkan
di tapak projek masih berada di tahap yang rendah kerana sisa-sisa pembinaan
yang terhasil mencemarkan dan mendatangkan masalah kepada alam sekitar dan
masyarakat. (Seow Ta Wee & Abdul Halim 2010).
Langkah pencegahan dan
pengurangan sisa merupakan langkah terbaik yang harus dijadikan amalan. Selain
dapat mengurangkan lambakan sisa binaan, langkah ini memberi faedah terutamanya
dari sudut pengurusan kewangan. Pengurusan dan pengendalian yang baik dan
teratur dapat membantu mengurangkan pembaziran pembelian bahan-bahan pembinaan
dan mengurangkan sisa pepejal dari tapak bina. Kaedah pengendalaian penyimpanan
bahan binaan turut membantu dalam menjaga kualiti dan jangka hayat bahan yang
digunakan. (Garis Panduan Pengurusan Sisa Pepepjal Pembinaan di Tapak Bina,
2013)
Konsep 3R mencakupi kaedah guna
semula sisa binaan. Kaedah ini dapat menjimatkan masa, wang dan tenaga.
Inisiatif guna semula bahan binaan yang masih mempunyai kualiti yang baik boleh
dioptimumkan sehingga kualiti dan keupayaan sesuatu bahan itu tidak lagi boleh
digunakan semula. Sebagai contoh acuan (formwork)
bagi sesuatu projek boleh digunakan semula untuk projek lain sekiranya tahap
kualiti dan pengendalian yang baik dilakukan.
Pengurusan sisa binaan di tapak
bina boleh dilakukan secara kitar semula. Aplikasi kaedah ini dapat dilakukan
terhadap lebihan simen, keluli, kayu dan sebagainya. Pendekatan kitar semula
bukan sahaja dapat mengatasi masalah lambakan sisa binaan malah penghasilan
produk baru dapat dilakukan dengan kaedah ini. Misalnya, lebihan bar keluli
yang dipotong bagi sesuatu struktur boleh diproses semula dengan meleburkan bar
keluli untuk menghasilkan produk yang baru.
RUMUSAN
Pengurusan sisa pembinaan dengan
pendekatan konsep 3R yakni reuse, reduce
and recycle adalah sangat efektif bagi permulaan di negara kita. Impak yang
besar dapat dilihat sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing.
Namun, sekiranya tahap kesedaran di kalangan masyarakat adalah rendah
usaha-usaha mahupun garis panduan yang ditetapkan tidak akan memberi sebarang
kesan yang positif.
Faktor utama bagi kekangan pelaksanaan
pengurusan secara lestari adalah faktor manusia itu sendiri. Kesedaran terhadap
kepentingan pengurusan secara lestari perlu diberi penekanan yang lebih. Selain
itu, faktor masa dan bebanan kos dalam pengurusan sisa terbabit yang
menyebabkan pemaju mahupun kontraktor mengambil jalan mudah dalam pengurusan
perlupusan sisa binaan ini. Kelalaian
bagi menguruskan sisa tersebut mengakibatkan pencemaran alam sekitar,
kemelesetan ekonomi dan menjejaskan keperluan sosial masyarakat.
Secara keseluruhannya, pengurusan
sisa pembinaan ini dapat diperbaiki. Titik tolak daripada peningkatan kesedaran
oleh kontraktor, pemaju dan pihak-phak terlibat dalam pengurusan sisa pembinaan
ini. Kempen dan program yang menjurus kepada pengurusan lestari perlu
diwajibkan kepada semua kontraktor dan pemaju. Tidak cukup sekadar penglibatan
sebelah pihak, pihak berkuasa harus mempergiatkan usaha pemantauan bagi semua
projek yang dijalankan. Pengurusan yang baik adalah dengan pemantauan yang
terancang dan berkala agar tiada ruang dan peluang untuk sebarang pihak untuk
mengelak dari pengurusan dengan betul.
RUJUKAN
Garis Panduan
Pengurusan Sisa Pepejal Pembinaan di Tapak Bina, Perbadanan Pengurusan Sisa
Pepejal dan Pembersihan Awam, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
(2013)
Pelan Strategik
2009-2013, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2013)
Portal Rasmi Perbadanan
Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Kementerian Perumahan
dan Kerajaan Tempatan www.ppsppa.gov.my
Seow Ta Wee &
Abdul Halim bin Mohamad (2010). “Pengurusan Sisa Pembinaan di Tapak Bina”
Sasitharan Nagapan,
Ismail Abdul Rahman & Ade Asmi (2012). “ Factors Contributing to Physical
and Non Physical Waste Generation in Construction Industry”.
Siti Akhtar binti
Mahayuddin (2011). “Penjanaan, Komposisi dan Pengurusan Sisa Binaan: Kajian Kes
Ipoh, Perak.”
Keep up the good work, colleague. You cite one of my research papers. It's a good medium to create awareness to manage the construction waste generation in Malaysia.
ReplyDeleteFrom Sasitharan Nagapan
http://81sasi81.wix.com/sasitharan-nagapan#!
Thank you so much Sasitharan Nagapan. Through you research I manage to share those output with my students and colleague.
DeleteArtikel ini juga boleh didapati di laman sesawang:
ReplyDeletehttpen.calameo.combooks004011316dc04466e4c67